Love Scam: Duda kerugian lebih RM180,000

Love Scam: Duda kerugian lebih RM180,000

Mangsa berusia 55 tahun dan bekerja sebagai jurukimpal mendakwa berkenalan dengan 'wanita' itu yang kononnya menetap di Amerika Syarikat, sekitar Januari lepas.

Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa hanya menyedari ditipu apabila suspek meminta tambahan RM30,000 daripadanya walaupun sebelum itu telah menyerahkan wang yang banyak.
KUANTAN:
Seorang duda sanggup mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan membuat pinjaman peribadi demi cintanya kepada ‘wanita’ yang hanya dikenali di Facebook, hingga kerugian RM183,600.

Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa yang berusia 55 tahun dan bekerja sebagai jurukimpal mendakwa berkenalan dengan ‘wanita’ itu yang kononnya menetap di Amerika Syarikat, sekitar Januari lepas.

“Mangsa yang telah kematian isteri mendakwa hubungan mereka semakin rapat sehingga mula berbincang mengenai perkahwinan.

“Mangsa mendakwa telah membuat pemindahan wang secara dalam talian berjumlah RM25,600 pada awal Februari lepas ke akaun diberikan suspek kononnya bagi urusan perkahwinan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ramli berkata mangsa mendakwa terus didesak supaya menambah wang bagi perkahwinan itu, menyebabkan dia membuat 10 lagi transaksi pemindahan wang ke dua akaun diberikan suspek.

Menurutnya mangsa hanya menyedari ditipu apabila suspek meminta tambahan RM30,000 daripadanya walaupun sebelum itu telah menyerahkan wang yang banyak, menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

Ramli menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan gambar profil individu cantik atau tampan di media sosial dalam memilih rakan, terutamanya daripada mereka yang mendakwa menetap di luar negara.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan nombor akaun yang diterima di semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi untuk mengelakkan daripada ditipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.