Kunjungan Anwar ke Saudi diserang hanya ‘umpan’ raih undi Melayu, kata penganalisis

Kunjungan Anwar ke Saudi diserang hanya ‘umpan’ raih undi Melayu, kata penganalisis

PN dikatakan cuba memberi tanggapan bahawa kegagalan perdana menteri menghadap Raja dan Putera Mahkota Arab Saudi menunjukkan beliau tidak dihormati.

Dalam kunjungannya ke Arab Saudi baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal mengadakan pertemuan dengan Raja Salman Abdul Aziz seperti dijadualkan. (Gambar Facebook Anwar Ibrahim)
PETALING JAYA:
Serangan Perikatan Nasional (PN) terhadap Anwar Ibrahim berhubung kunjungannya ke Arab Saudi dilakukan untuk menimbulkan keraguan dalam kalangan pengundi Melayu-Islam terhadap perdana menteri sebagai pemimpin negara Islam, kata penganalisis politik.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, PN cuba memberi tanggapan kepada pengundi Melayu-Islam bahawa kegagalan Anwar menghadap Raja Arab Saudi dan Putera Mahkota menunjukkan beliau tidak dihormati pemerintah Saudi.

Bagaimanapun, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, apa yang berlaku di Arab Saudi mungkin didorong faktor keakraban Anwar dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

“Apa yang berlaku adalah wujud persaingan antara keluarga diraja Saudi dan Erdogan untuk dilihat sebagai pemimpin dunia Islam,” katanya.

Azmi berkata, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berdepan persepsi negatif dalam kalangan pengundi pada 2018 disebabkan hubungan tegang Dr Mahathir Mohamad dengan rakan sejawatannya di Saudi.

“PN cuba menggambarkan Anwar tidak mendapat penghormatan Riyadh, yang dianggap simbol dunia Islam dan dikenali sebagai penjaga kota suci Mekah,” katanya kepada FMT.

Katanya, PH boleh melakukan serang balas dengan memberikan penjelasan yang meyakinkan mengapa pemimpin-pemimpin tertinggi itu tidak bertemu.

Anwar dikritik kerana gagal bertemu dengan Raja Salman Abdul Aziz atau Putera Mahkota Mohammed Salman, yang juga perdana menteri Saudi.

Azmi berkata, PN akan memainkan kegagalan Anwar mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tersebut sebagai tanda beliau tidak diiktiraf sebagai pemimpin negara Islam.

Awang Azman berkata, satu-satunya cara untuk Anwar membalas kritikan tersebut adalah memastikan beliau bertemu pemimpin Saudi dalam kunjungan seterusnya untuk menunjukkan imej positif kepimpinannya sebagai perdana menteri.

“Jika Raja Salman dan Putera Mahkota mengadakan kunjungan ke Malaysia, imej Anwar di mata pengundi Melayu-Islam akan menjadi positif,” katanya.

Pada Ahad, pembantu Anwar membidas kritikan pembangkang yang cuba menggambarkan kunjungan perdana menteri itu sebagai gagal dan merupakan pembaziran dana awam.

Ahmad Farhan Fauzi berkata, kunjungan tiga hari Anwar “membuahkan hasil” dan mengukuhkan hubungan dua hala antara dua negara.

Farhan juga berkata, perdana menteri mempunyai jadual padat yang mana beliau tidak berkesempatan bertemu pemimpin lain dalam kerajaan Arab Saudi.

Bagaimanapun, perdana menteri mengadakan pertemuan bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan badan Liga Muslim Dunia di Mekah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.