Kadar VEP untuk kenderaan Singapura kekal, kata Loke

Kadar VEP untuk kenderaan Singapura kekal, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata, kerajaan tidak bercadang menaikkan kadar itu kerana kemungkinan Singapura akan mengambil langkah yang sama.

Kenderaan berpendaftaran asing perlu membayar VEP RM20 untuk masuk ke Malaysia melalui Singapura. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak merancang untuk menaikkan kadar permit masuk kenderaan (VEP) untuk kenderaan berdaftar di Singapura masuk ke negara ini, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Loke berkata, kerajaan tidak akan menaikkan kadar ketika ini RM20 bagi setiap kenderaan kerana kemungkinan Singapura mengambil langkah yang sama.

“Sekiranya, kita tingkatkan kadar bayaran itu, maka Singapura pun akan mengenakan kadar yang lebih tinggi untuk kenderaan Malaysia yang masuk ke Singapura,” katanya dalam satu sidang media di Johor Bahru.

Kata Loke, keputusan untuk mengekalkan kadar VEP itu juga bertujuan menggalakkan lebih ramai pelancong dari Singapura datang ke Malaysia supaya dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

“Kita juga nak menggalakkan kemasukan pelancong Singapura ke negeri ini untuk pembangunan ekonomi,” katanya.

Bayaran RM20 untuk VEP bagi semua kenderaan berpendaftaran asing termasuk motosikal di dua pemeriksaan imigresen di Woodlands dan di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.