Mengajar dulu seminggu baru tahu beban guru, Ahli Parlimen PN beritahu Fadhlina

Mengajar dulu seminggu baru tahu beban guru, Ahli Parlimen PN beritahu Fadhlina

Ahli Parlimen Parit Buntar Misbahul Munir Masduki berkata, bebanan guru di sekolah amat berat kerana perlu mengurus pelbagai isu sehingga ada di antara mereka terpaksa membawa pulang kerja-kerja tertangguh ke rumah.

Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berkata, ada di antara guru yang terpaksa bekerja hampir 24 jam kerana perlu mengajar dan dalam masa yang sama menjadi warden asrama.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional menyindir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek supaya cuba menyelami tugas guru dengan menjadi guru dalam tempoh seminggu, bagi memahami bebanan yang dihadapi oleh golongan itu.

Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) berkata, bebanan guru di sekolah amat berat kerana perlu mengurus isu pengurusan, pembelajaran, sukan, peperiksaan, aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), sehingga ada di antara mereka terpaksa membawa pulang kerja-kerja tertangguh ke rumah.

“Menteri pendidikan mungkin tiada pengalaman jadi guru, kalau boleh masuk sekolah ajar selama seminggu cukup, baru tahu.

“Jangan buat-buat praktikal, macam praktikal mengajar di dewan Parlimen, buat kita macam murid-murid. Masuk sekolah, rasainya bagaimana peritnya dan deritanya guru-guru menanggung beban yang sangat berat,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Cadangan itu turut mendapat sokongan ahli Dewan Rakyat yang lain.

Misbahul yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun sebagai seorang guru berkata, ada di antara guru yang terpaksa bekerja hampir 24 jam kerana perlu mengajar dan dalam masa yang sama menjadi warden asrama.

Tambahnya lagi, guru juga terdedah dengan karenah ibubapa dan masyarakat sekeliling, hanya kerana mereka terpaksa mengambil tindakan tegas ke atas murid.

“Ada kes guru yang dicederakan, diancam, dibuat laporan polis, berdepan tindakan mahkamah dan sebagainya. Guru terpaksa menanggung risiko yang berat,” katanya.

Justeru beliau mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan mewujudkan perjawatan warden dan pembantu warden sepenuh masa dengan gred N11 – N19.

Misbahul turut mencadangkan kerajaan melantik pegawai lain bagi mengurus kerja-kerja pengkeranian, pemarkahan dan tugas-tugas lain bagi meringankan beban guru memandangkan kerani serta pembantu am sedia ada hanya mengurus hal-hal pentadbiran sekolah sahaja

“Di sekolah adalah lima bidang iaitu pelaksanaan kurikulum, kemanusiaan, teknik dan vokasional, sains matematik, agama, bahasa dan sukan. Jadi apa salahnya kementerian memikirkan mekanisma menempatkan perjawatan pentadbiran baharu bagi setiap bidang yang ada di sekolah.

“Kalau ada ada lima bidang, lantik lima jawatan bagi membantu guru-guru mengurus hal-hal yang bukan berkaitan pengajaran dan pembelajaran, atau pun berilah elaun tambahan yang berpatutan atas beban tugas yang ditanggung selain gaji pokok dan elaun-elaun yang lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.