
Lim dikritik selepas gagal menyediakan jawapan kepada soalan ketika sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat semalam.
Ahli Parlimen Raub Chow You Hui berkata, serangan terhadap Lim dijangka datang dari Ahli Parlimen Perikatan Nasional dan bukannya dari blok kerajaan.
“Dijangka PN akan mengambil kesempatan dalam situasi ini tetapi apa yang mengejutkan, MCA, anggota kerajaan, membuat serangan bertalu-talu terhadap Lim dengan diketuai Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon dan Setiausaha Agung Pemuda Kebangsaan MCA Daniel Wa.
“Serangan mereka melebihi PN sendiri,” kata Chow dalam satu kenyataan.
Semalam, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Nor menegur Lim kerana tidak bersedia. Lim kemudiannya meminta maaf dan berkata, beliau tidak akan mengulangi kesilapan itu lagi.
Mah menganggap kegagalan Lim menyediakan jawapan itu seperti pelajar yang tidak membuat kerja sekolah manakala Wa menggesa RM10 dipotong daripada gaji Lim.
Chow juga berkata, MCA harus memfokuskan bercakap mengenai pandangan melampau PN dan bukannya menyerang DAP.
“Sekiranya Mah mahu kehadirannya disedari, beliau boleh memilih mengecam kenyataan PN terhadap program ‘Jom Ziarah Gereja’ atau komen Ketua Wanita Bersatu Rina Harun yang mahu menutup sekolah vernakular, daripada berterusan menyerang DAP,” katanya.