
Lim berkata, beliau terkejut apabila bekas ahli CEP Jomo Kwame Sundaram menyatakan semalam bahawa tiada laporan melibatkan keseluruhan CEP, yang dibentuk sejurus Pakatan Harapan (PH) berkuasa selepas PRU pada 2018.
Sebaliknya, Jomo berkata, terdapat satu laporan disediakan sekretariat bawah pengerusi CEP yang juga bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin.
Dalam kenyataannya, Lim berkata, beliau selama ini menganggap CEP sudah mengeluarkan laporannya.
“Ketika Mahathir (Dr Mahathir Mohamad) menjadi perdana menteri buat kali kedua, saya ada menggesanya mendedahkan laporan CEP kepada umum,” katanya.
“Saya sekali lagi menggesa agar laporan sekretariat CEP dibentangkan sebagai kertas putih di Parlimen sebelum persidangan ditangguh pada 4 April.”
Selain Jomo dan Daim, ahli CEP lain termasuk bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas Hassan Marican, dan taikun korporat Robert Kuok.
CEP dibubarkan selepas 100 hari kerajaan PH memerintah.
Lim juga mahu laporan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC), bertujuan mengkaji cadangan reformasi institusi yang dikenal pasti oleh kerajaan PH sebelum ini, turut dibentangkan di Parlimen sebagai kertas putih.
Katanya, dua laporan tersebut sepatutnya dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas, yang patut mengemukakan saranan pada sidang Parlimen Mei-Jun, bermula 22 Mei, untuk diambil tindakan.