
Presidennya, Soh Thian Lai, berkata ini termasuk penangguhan dalam proses mendapatkan pekerja di negara sumber, kelewatan dalam pengeluaran visa oleh Jabatan Imigresen, penangguhan mobilisasi pekerja di negara sumber dan kelembapan dalam permintaan menyebabkan kurang mendesak untuk membawa masuk pekerja.
“Kerajaan mesti mengiktiraf kelulusan kuota adalah sah untuk tempoh 18 bulan dari tarikh kelulusan, yang memberi masa diperlukan kepada pihak industri membawa masuk pekerja, kadangkala secara berkumpulan, bagi memenuhi keperluan pengeluaran berubah-ubah,” katanya menurut Bernama.
Beliau mengulas keputusan kerajaan menggantung sementara permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing mulai 18 Mac lalu sehingga diberitahu kelak bagi membolehkan majikan membawa masuk 995,396 pekerja asing yang diluluskan untuk pelbagai sektor.
Kesal dengan kegagalan kerajaan membabitkan pihak industri bagi memahami situasi sebelum membuat sebarang keputusan, Soh berkata, keputusan itu mengejutkan industri.
“Membekukan permohonan dan kelulusan sehingga semua 995,396 pekerja kuota yang diluluskan telah tiba, akan menghalang orang lain mendapatkan pekerja serta mereka yang mempunyai pekerja pulang daripada menggantikan pekerja bagi mengekalkan operasi perniagaan untuk 18 bulan akan datang.”
Katanya, sesetengah pelabur baharu juga perlu mula memohon kuota mereka kerana mereka masih memerlukan tenaga kerja berkemahiran rendah untuk proses tertentu dalam operasi mereka.
“Oleh itu, pihak industri merayu kerajaan menyambung semula permohonan dan kelulusan pekerja asing bagi memenuhi keperluan pekerja yang dipacu melalui pasaran.”