
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata buat masa ini, kementerian sedang menyediakan garis panduan umum untuk diguna pakai pelabur, khasnya syarikat swasta yang berhasrat melabur di luar negara secara RI.
Katanya, pelaburan timbal balik itu memerlukan pelabur terlibat membawa balik komoditi makanan hasil pelaburan mereka di luar negara ke Malaysia untuk memenuhi keperluan dalam negara.
“Konsep dan tafsiran pelaburan RI dalam konteks agromakanan adalah penerokaan dan pengembangan operasi pelaburan tempatan ke luar negara dalam aktiviti pertanian yang dilaksanakan secara kaedah usahasama, pakatan pihak pelabur, rakan usahasama atau petani di negara berkaitan.
“Komoditi yang dibawa masuk akan dianggap sebahagian keluaran dalam negara dan komoditi yang dibawa masuk juga hendaklah bersumber sepenuhnya daripada pelaburan setiap peringkat rantaian nilai pengeluaran,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan titah diraja di Dewan Negara.
Beliau berkata, negara yang dianggap sesuai membuat pelaburan RI bagi penghasilan daging lembu, kerbau, kambing dan biri-biri adalah Indonesia, Australia, Thailand, Papua New Guinea, Pakistan dan India, manakala jagung dan sumber makanan ternakan lain adalah Indonesia.
Sementara itu, katanya, kebanyakan graduan pertanian tidak bekerja dalam bidang itu selepas tamat pengajian disebabkan sektor itu lambat mendatangkan hasil dan ada kalanya mengambil masa sehingga setahun.
“Memang kalau dalam sektor pertanian ini mendatangkan hasil yang lambat…nak bajak lagi, ternak lagi, memakan masa dalam tiga hingga enam bulan dan ada kalanya hingga setahun untuk jana hasil. Disebabkan itu, mereka (graduan pertanian) memilih makan gaji kerana lebih mudah dapat gaji.
“Ini juga menyebabkan mereka lebih sanggup jadi pemandu grab dan sebagainya, meskipun hakikatnya sektor pertanian itu mampu memberi pulangan lumayan kepada mereka.”
Justeru, antara langkah kementerian mendorong anak muda atau graduan pertanian terlibat dalam bidang itu secara aktif iaitu menyediakan pelbagai peruntukan yang boleh dimanfaatkan melalui Agrobank.