Terlalu bergantung satu syarikat undang masalah bekalan ubat, kata kumpulan pemikir

Terlalu bergantung satu syarikat undang masalah bekalan ubat, kata kumpulan pemikir

Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial berkata 'perjanjian konsesi berdekad lamanya' kepada Pharmaniaga mengekang syarikat lain menawarkan khidmat mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib, berkata syarikat lain tidak bersedia untuk mengambil alih peranan Pharmaniaga. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Sektor kesihatan awam sudah terlalu lama bergantung kepada satu syarikat bagi penyediaan logistik ubat dan perubatan, kata kumpulan pemikir, Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial.

Ketua pegawai eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib, berkata penganugerahan “perjanjian konsesi berdekad lamanya” kepada Pharmaniaga menghalang syarikat lain menyedia atau menawarkan khidmat mereka.

Ini sekali gus menghalang kerajaan daripada mencari penyedia perkhidmatan lain sekiranya syarikat itu gagal.

“Akibatnya, kita sentiasa berdepan gangguan jika Pharmaniaga menghadapi masalah. Dulu ia dianggap tak mungkin terjadi, namun ia telah berlaku,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Eksekutif Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) Chan Li Jin mengenai klasifikasi PN17 Pharmaniaga melibatkan masalah kewangan, menjurus “ketidaktentuan dan kebimbangan” dalam kalangan pembekal ubat.

Azrul berkata, masalah aliran tunai Pharmaniaga boleh menyebabkan gangguan teruk dalam kemampuannya memberi perkhidmatan kepada kerajaan, memandangkan pembekal mula hilang keyakinan terhadap syarikat itu.

“Tiada pembekal mahu menyediakan khidmat atau barangan tanpa jaminan pembayaran. Siapa yang akan bertindak sebagai penjamin mereka?” soalnya.

Ditanya jika ada mana-mana syarikat lain berupaya menyediakan perkhidmatan logistik seperti Pharmaniaga, beliau berkata, apa dilakukan syarikat berkenaan memerlukan kepakaran tinggi yang mana hanya sebilangan kecil sahaja syarikat di negara ini mampu melakukan perkara sama.

“Ada syarikat lain yang menyediakan perkhidmatan tersebut. Bagaimanapun, ketika ini mereka memberi perkhidmatan kepada sektor swasta,” katanya.

Beliau percaya seandainya masalah kewangan Pharmaniaga tidak diselesaikan, sektor kesihatan awam akan berdepan masalah menyediakan ubat-ubatan kepada pesakit di seluruh negara.

Ini kerana syarikat penyedia khidmat lain pula akan berdepan masalah mengambil alih peranan Pharmaniaga, kerana tidak bersedia.

Pada Jumaat, Chan berkata, sejak tiga minggu lalu, Pharmaniaga menghantar surat jaminan kepada syarikat farmaseutikal, memberi jaminan operasinya kekal bertahan dan semua kewajipan kewangan kepada pemegang taruh akan dipenuhi.

Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa syarikat farmaseutikal tidak menerima pembayaran bagi pembekalan ubat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.