
Sebelum ini, pelajar terbabit layak mendapat pinjaman itu, jika mereka lulus tahun pengajian semasa dan mempunyai baki sekurang-kurangnya 24 bulan dalam program mereka.
Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai, berkata JPA perlu menjelaskan langkahnya berhenti menawarkan pinjaman boleh ubah kepada pelajar di sekolah perubatan tempatan kerana mereka masih memerlukan sokongan itu memandangkan bukan semuanya datang daripada keluarga berada.
“Sudah tentu kita perlu menguruskan jumlah graduan perubatan, tetapi menghentikan program pinjaman boleh ubah secara tiba-tiba bukan caranya,” katanya dalam kenyataan.
JPA menerusi arahan baru-baru ini berkata, pinjaman boleh ubah tidak akan ditawarkan kepada pelajar mengikuti ijazah perubatan, pergigian dan farmasi.
Bidang lain termasuk pendidikan dan bidang memerlukan pelajar mengambil lesen, seperti juruterbang dan menyelam, program francais universiti tempatan dan program ijazah berkembar atau “twinning”.
JPA berkata, bidang lain yang tidak layak ialah program kejururawatan, pra-perubatan dan pra-perkhidmatan, pensijilan profesional seperti ditawarkan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun serta program sambilan tidak bersubsidi, dalam talian atau jarak jauh.
Bawah skim pinjaman boleh ubah, pelajar tidak perlu membayar balik pinjaman jika mereka berkhidmat sebagai penjawat awam selepas tamat pengajian.
Mereka dibenarkan membayar balik 25% pinjaman jika bekerja di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan 50% jika diambil bekerja oleh syarikat Malaysia dalam sektor swasta. Mereka perlu membayar balik pinjaman sepenuhnya dalam semua situasi lain.
Pinjaman itu hanya ditawarkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi tempatan dalam program ijazah dengan baki sekurang-kurangnya 12 bulan. JPA berkata, mereka perlu mendapat PNGK sekurang-kurangnya 3.30.
Tetapi, program biasiswa/dermasiswa JPA untuk kursus perubatan, pergigian dan farmasi bagi pelajar memperoleh sekurang-kurangnya 9A+ dalam SPM mereka, sama ada di dalam atau luar negara, tidak terjejas.
Muruga Raj berkata, kerajaan perlu tanya diri jika langkah itu akan menjejaskan kepakaran diperlukan dalam sektor kesihatan awam dalam masa terdekat dan jangka panjang.
Katanya, langkah itu turut menimbulkan persoalan ke atas perancangan sumber manusianya untuk sektor ini.
“Kami berharap JPA dapat berkongsi unjurannya untuk pakar, pegawai perubatan dan kakitangan kesihatan lain yang diperlukan dalam tempoh lima hingga 10 tahun.
“Bahkan sekarang, negara kita masih tidak mencapai nisbah doktor kepada pesakit 1:400 di kemudahan kesihatan awam.
“Di sesetengah hospital, nisbah itu boleh mencapai seorang doktor kepada 1,000 pesakit dan terdapat kekurangan dalam bilangan pakar kesihatan awam.”
Katanya, dengan unjuran Malaysia mencapai status negara tua pada 2030, di mana 15% populasinya berusia 60 tahun ke atas, terdapat keperluan untuk perancangan betul bagi perkhidmatan kesihatan mencukupi untuk memenuhi perubahan demografi ini.