Hubungan baik Malaysia-Kemboja bantu selesai isu sindiket tipu kerja, kata duta

Hubungan baik Malaysia-Kemboja bantu selesai isu sindiket tipu kerja, kata duta

Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata hubungan baik itu memudahkan urusan Kedutaan Malaysia menyelamatkan 286 rakyat diperdaya sindiket sejak 2019 hingga tahun ini.

Seramai 250 warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja diselamatkan pada 2022. (Gambar Bernama)
PHNOM PENH:
Hubungan baik yang lama terjalin antara Malaysia dan Kemboja membantu usaha Kedutaan Malaysia di sini menangani isu sindiket penipuan pekerjaan.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Eldeen Husaini Mohd Hashim, berkata hubungan baik itu memudahkan urusan pihaknya menyelamatkan 286 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan sindiket sejak 2019 hingga tahun ini.

“Pada 2022 saja, kita selamatkan 250 orang. Ini dilakukan dengan adanya koordinasi baik antara Kedutaan Malaysia di sini dengan polis Kemboja,” katanya di Kedutaan Malaysia di sini menjelang lawatan rasmi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ke negara itu esok.

Mengulas lanjut, Eldeen Husaini berkata, hubungan dua hala itu bukan hanya melibatkan kedua-dua kerajaan, tetapi juga rakyat dengan rakyat.

Beliau berkata, perkara itu jelas kerana banyak badan bukan kerajaan (NGO) sering ke Kemboja untuk membantu, terutama komuniti Melayu Islam Champa.

“Selain itu, ramai juga rakyat Malaysia datang ke sini untuk membantu memberikan al-Quran, membuat perigi untuk kegunaan orang ramai serta menjalankan ibadat korban.”

Katanya, lawatan sulung Anwar esok menterjemahkan hubungan rapat Phnom Penh dan Kuala Lumpur, seterusnya memberi peluang meningkatkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, pemeteraian dua memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dengan Kemboja mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja Bagi Sektor Domestik serta Sektor Formal akan memberi impak kepada ekonomi Malaysia.

“MoU mengenai pekerja domestik dan formal ini amat membantu kerana sebelum ini memang ada, tetapi dihentikan atas sebab tertentu dan kini dengan adanya MoU itu akan memberikan banyak impak dalam membantu Malaysia menjana ekonomi kerana kita akan mendapatkan khidmat pekerja Kemboja.”

Ketika ini, katanya, terdapat kira-kira 5,000 rakyat Malaysia di Kemboja dan kira-kira 400 syarikat Malaysia beroperasi di negara itu.

Lawatan rasmi sehari Anwar ke Kemboja esok akan memperkukuhkan lagi hubungan serta kerjasama dua hala yang terjalin sejak 1957. Ia lawatan rasmi luar negara ketujuhnya sejak dilantik sebagai perdana menteri pada 24 Nov lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.