Henti politikkan lawatan rasmi PM ke Arab Saudi, setpol Anwar tegur pembangkang

Henti politikkan lawatan rasmi PM ke Arab Saudi, setpol Anwar tegur pembangkang

Ahmad Farhan Fauzi yang menyertai delegasi ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac itu berkata lawatan rasmi tiga hari berkenaan 'sangat berhasil'.

Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi sulung selama tiga hari ke Arab Saudi baru-baru ini yang disambut Gabenor Jeddah Putera Saud Abdullah Jalawi Al Saud. (Gambar PMO)
PETALING JAYA:
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas pembangkang yang mempolitikkan lawatan rasmi pemimpin itu ke Arab Saudi, sambil menyifatkan kunjungan berkenaan “sangat berhasil” walaupun tempoh singkat.

Ahmad Farhan Fauzi yang turut menyertai delegasi ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac itu berkata, jadual perdana menteri sangat padat, dengan pertemuan bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan badan Liga Muslim Dunia di Mekah, selain menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman melibatkan perniagaan dan industri.

Katanya, Anwar juga memberi fokus kepada permasalahan mendesak melibatkan negara Arab dan Islam, selain menyantuni komuniti serta mahasiswa Malaysia di Arab Saudi.

“Meski cubaan mereka untuk menggariskan lawatan berkenaan sebagai satu bentuk kegagalan dan pembaziran dana rakyat, saya ingin menegaskan bahawa lawatan tersebut sangat berhasil.

“Malah memperkukuh hubungan Putrajaya-Riyadh meski dalam tempoh yang singkat perdana menteri di tampuk pemerintahan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, pembangkang membangkitkan tiga isu bagi menggambarkan lawatan Anwar dan delegasinya ke Arab Saudi sebagai gagal.

Tiga perkara yang cuba dimainkan adalah – Anwar menerima sambutan hambar dari Arab Saudi kerana hanya disambut Gabenor Jeddah; tidak dibawa masuk Kaabah seperti kelaziman lawatan perdana menteri Malaysia sebelum ini, dan tiada pertemuan antara Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz atau Putera Mahkotanya, Mohammed Salman.

Pembangkang turut membandingkan lawatan Anwar dengan kejayaan kunjungan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada 2021 yang disambut Raja Salman.

Mengulas perkara itu, Farhan berkata pihak Arab Saudi meminta lawatan perdana menteri dilanjutkan namun terpaksa menolak secara baik kerana beliau perlu hadir ke majlis berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong semalam, sebelum meneruskan kunjungan rasmi ke Phnom Penh, Kemboja, esok.

Perdana menteri juga dijadual terbang ke Hainan dan Beijing, China pada Rabu untuk bertemu Presiden Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Premier Li Qiang.

“Saya menggesa kepada pihak yang kekontangan modal dan bankrap isu, untuk menghentikan polemik ini dan bersama mendukung usaha kerajaan perpaduan dalam memperkukuh imej Malaysia selain memantapkan kerjasama dan hubungan luar negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.