Budak lelaki tanggung azab 20 minit kepala tersepit lif

Budak lelaki tanggung azab 20 minit kepala tersepit lif

Bomba berkata ketika kejadian lif dinaiki lima individu yang mahu turun dari tingkat enam tersangkut di tingkat empat.

Bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang cedera di kepala dengan menggunakan peralatan khas. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak lelaki menanggung azab 20 minit apabila terjatuh dan tersepit pintu lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom, Seksyen 26, Shah Alam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi selepas dimaklum mengenai kejadian dan tiba pada 7.30 malam.

“Siasatan mendapati, ketika kejadian lif dinaiki lima individu yang mahu turun dari tingkat enam. Bagaimanapun, ia tersangkut di tingkat empat.

“Pada masa sama, seorang daripada lelaki dewasa yang mendukung anaknya berumur setahun setengah bersandar pada pintu lif dan tiba-tiba kanak-kanak itu terjatuh lalu tersepit pada lubang antara pintu lif dan dinding bangunan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mangsa dalam keadaan sedar dipercayai tersepit selama 20 minit sebelum bomba tiba.

“Dengan menggunakan peralatan khas, anggota berjaya mengeluarkan mangsa yang cedera di kepala, dalam tempoh lima minit.

“Mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital KPJ Shah Alam menggunakan jentera EMRS bomba,” katanya.

Katanya, empat individu lain termasuk bapa mangsa tidak cedera dan dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.