
Semalam, Wan Fayhsal membuat laporan polis terhadap Lim dan Anwar berhubung isu pengecualian cukai Yayasan Albukhary, sambil menggesa polis mengambil tindakan.
Beliau menuduh Anwar mengelirukan Dewan Rakyat kerana menyokong Lim.
Lim berkata, Wan Fayhsal melakukan kesilapan cuba mengheret polis dalam prosiding Parlimen.
“Jelas, beliau tidak menghormati atau memahami prinsip ketinggian Parlimen dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
“Polis atau mana-mana cabang kerajaan tidak mempunyai autoriti melanggar atau menyiasat perkara dibincangkan di Parlimen.
“Perkara melibatkan Parlimen hanya boleh ditentukan oleh Parlimen. Bagi Ahli Parlimen yang melakukan perkara bertentangan menunjukkan beliau tidak layak menjadi ahli Dewan Rakyat.”
Terdahulu, Wan Fayhsal mempertahankan dakwaan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi Perikatan Nasional, bahawa Lim membatalkan pengecualian cukai diberikan kepada yayasan tersebut ketika menjadi menteri kewangan, sambil menyatakan bekas perdana menteri itu tidak berbohong mengenai perkara berkenaan.
Bagaimanapun, pada 21 Mac, Anwar menafikan Lim berbuat demikian.
Lim berkata, Anwar menyatakan kebenaran apabila beliau memaklumkan mengikut rekod Kementerian Kewangan, status pengecualian cukai Yayasan Albukhary tidak dibatalkan antara Mei 2018 hingga Februari 2020, ketika Lim menjadi menteri kewangan.
“Wan Fayhsal sepatutnya memujuk Muhyiddin menunjukkan apa jua surat pembatalan dibuat saya terhadap Yayasan Albukhary,” katanya.
“Sekiranya, Muhyiddin gagal, kedua-duanya Muhyiddin dan Wan Fayhsal membuat dakwaan kosong yang tidak berasas dan palsu.”