Walau kalah Gerakan masih relevan, Dominic beritahu Loke

Walau kalah Gerakan masih relevan, Dominic beritahu Loke

Presiden Gerakan berkata parti itu mempunyai prinsip dan akan menunaikan janji jika diberi mandat pada pilihan raya akan datang.

Dominic Lau berkata Loke Siew Foke tidak faham kenapa Gerakan kekal relevan walaupun kalah dalam beberapa pilihan raya.
PETALING JAYA:
Gerakan akan terus relevan walaupun tidak mendapat mandat daripada rakyat, kata presidennya, Dominic Lau.

Beliau berkata, ini kerana Gerakan mempunyai prinsip dan akan menunaikan janji jika diberi mandat pada pilihan raya akan datang.

Dominic berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, baru-baru ini bahawa Gerakan patut dibubarkan kerana tidak mendapat mandat rakyat.

Katanya, Loke tidak faham kenapa Gerakan kekal relevan walaupun kalah dalam beberapa pilihan raya.

“Kerana Gerakan bukan seperti DAP. Mendapat mandat daripada menipu rakyat dengan janji-janji kosong.

“Sebelum pilihan raya mereka cakap ingin iktiraf Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC), Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), pilihan raya kerajaan tempatan.

“Mana janji-janji semua itu. Penipuan ini dibuat untuk mendapat mandat rakyat tetapi mereka hanya diam selepas mendapat mandat,” katanya.

Dalam pada itu, Dominic berkata Gerakan menjelaskan rundingan pemilihan kerusi pada PRN akan datang sudah dibuat bersama rakan dalam Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, Gerakan berhasrat bertanding di semua negeri pada PRN akan datang.

Katanya, Gerakan juga sudah menghantar kurang daripada 70 nama kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk dipertimbangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.