Tiada virus Marburg dikesan di Malaysia

Tiada virus Marburg dikesan di Malaysia

Kementerian Kesihatan akan terus membuat langkah pengawasan bagi mengurangkan risiko penularan virus itu.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa melawat gerai di Bazar Ramadan Sekijang, Taman Utama, Segamat. (Gambar Bernama)
SEGAMAT:
Tiada penyakit virus Marburg dikesan di Malaysia setakat ini, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus membuat langkah pengawasan bagi mengurangkan risiko penularan virus itu.

Katanya, pengawasan dan pemantauan terutama di pintu masuk antarabangsa negara akan diperhebat selain mengikuti perkembangan virus itu dari semasa ke semasa.

“Apabila ada berita mengenai virus seperti ini kita akan buat pemantauan khususnya kepada mereka yang datang dari Afrika.

“Namun, setakat ini belum ada apa-apa lagi yang dikesan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan mesra Bazar Ramadan 2023 peringkat Johor di Bazar Ramadan Sekijang, Taman Utama.

Beliau menasihatkan rakyat yang baru pulang dari Afrika membuat pemeriksaan di hospital dan klinik berhampiran jika menunjukkan gejala kesihatan yang merosot.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malawi mengeluarkan amaran mengenai penyakit virus Marburg yang setakat ini meragut lima nyawa di wilayah barat laut Kagera, Tanzania.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.