Zakir Naik ‘selamat’ di hotel Oman, peguam nafi pendakwah ditahan

Zakir Naik ‘selamat’ di hotel Oman, peguam nafi pendakwah ditahan

Akberdin Abdul Kader berkata, Zakir Naik sebaliknya menerima sambutan kehormat di Muscat.

Zakir Naik dikehendaki untuk disoal siasat di India atas dakwaan pengubahan wang dan kegiatan menyalahi undang-undang lain.
PETALING JAYA:
Peguam mewakili Zakir Naik menafikan laporan berita mendakwa pendakwah itu akan ditahan di Oman untuk dihantar pulang ke India.

Zakir sebaliknya diberikan sambutan kehormat di ibu negaranya, Muscat, kata Akberdin Abdul Kader

“Beliau menghantar pesanan memaklumkan beliau selamat dan berada di hotel,” kata Akberdin kepada FMT.

Zakir juga memaklumkan, laporan mendakwa penahanannya sekadar “berita rekaan” media kawalan kerajaan Perdana Menteri India Narendra Modi.

Beliau juga memuat naik video di akaun Facebook memberitahu pengikutnya beliau selamat tiba di Oman pada awal pagi 22 Mac.

Zakir turut menyatakan penghargaan kepada Sultan Oman atas sambutan mesra diterimanya.

Malam tadi, saluran berita India berbahasa Inggeris News18 melaporkan Zakir akan ditangkap di Oman dan dihantar pulang ke India.

Menurut laporan itu, perisikan India bekerjasama dengan pihak berkuasa Oman untuk menahan Zakir pada Khamis.

Zakir memegang taraf penduduk tetap di Malaysia dan menetap di Putrajaya.

Pendakwah kontroversi itu dikehendaki untuk disoal siasat di India atas dakwaan pengubahan wang dan kegiatan menyalahi undang-undang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.