Umno Bahagian Sipitang diarah buat pemilihan semula

Umno Bahagian Sipitang diarah buat pemilihan semula

Ia susulan aduan mendakwa 820 kertas undi dikeluarkan pada 18 Mac lalu, sedangkan hanya 705 perwakilan layak mengundi hadir hari itu.

Pemimpin tertinggi Umno Bahagian Sipitang, Kamarlin Ombi berkata, Umno Sabah akan mengendalikan pemilihan semula bahagian itu yang dijangka diadakan selepas Aidilfitri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Umno Bahagian Sipitang diarah mengadakan pemilihan semula kerana mesyuarat perwakilan pada 18 Mac lalu tidak sah.

Pemimpin tertinggi Umno bahagian itu, Kamarlin Ombi, berkata pemilihan semula yang dijangka diadakan selepas Aidilfitri ini akan dikendalikan Umno Sabah.

“Tarikh belum ditentukan lagi, dijangka selepas Hari Raya sebab ada tiga bahagian, termasuk Beluran dan Kota Kinabalu,” katanya menurut Sinar Harian.

Terdahulu, terdapat aduan mendakwa pihak pengerusi dan jawatankuasa pemilihan bahagian itu tidak menjalankan tugas dengan telus kerana 705 perwakilan layak mengundi diumumkan hadir hari itu, tetapi 820 kertas undi dikeluarkan, iaitu lebih 115 keping.

Susulan itu surat dipercayai daripada Umno pusat berhubung aduan keputusan pemilihan bahagian itu tular di aplikasi WhatsApp.

Surat itu antara lain mendakwa Jawatankuasa Bantahan Pemilihan Umno menerima aduan berhubung ketidakteraturan mesyuarat dan proses pemilihan bahagian terbabit.

Hasil penelitian ke atas aduan itu, jawatankuasa terbabit dikatakan membuat keputusan mesyuarat dan pemilihan bahagian itu tidak sah. Justeru, ia perlu mengadakan mesyuarat dan pemilihan semua jawatan di peringkat bahagian, tetapi tidak membabitkan pemilihan peringkat pusat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.