Monopoli Puspakom periksa kenderaan tamat tahun depan

Monopoli Puspakom periksa kenderaan tamat tahun depan

Menteri pengangkutan berkata, kerajaan mahu mempromosikan industri pemeriksaan kenderaan yang kompetitif.

Puspakom tidak lagi menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan kenderaan bagi JPJ mulai 1 Sept 2024. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jemaah Menteri memutuskan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan bermotor akan dibuka kepada mana-mana pihak yang layak sebaik sahaja konsesi Puspakom tamat pada 31 Ogos 2024.

“Ketetapan ini bermakna pihak Puspakom tidak lagi akan menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula pada 1 Sept 2024,” kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Dalam sidang media, Loke berkata, Jemaah Menteri memutuskan perkara itu pada 17 Mac kerana mahu mempromosikan industri pemeriksaan kenderaan yang kompetitif.

Beliau berkata, bagi memastikan keseragaman peraturan dan keadilan dalam aspek persaingan, pihak berminat diwajibkan memenuhi semua syarat dan peraturan sama dikenakan kepada Puspakom.

Loke berkata, antara syarat dan peraturan itu merangkumi penyediaan peralatan berkomputer dikawal selia dan diluluskan JPJ; mematuhi skop, standard, dan prosedur ditetapkan; mengenakan fi pemeriksaan seperti ditetapkan; serta tidak dibenarkan sama sekali menawarkan pembaikan atau ubah suai kenderaan serta penjualan alat ganti.

“Pihak JPJ akan secara berterusan mengaudit dan memantau semua pihak yang menyediakan perkhidmatan tersebut bagi memastikan pematuhan, kualiti, dan integriti pemeriksaan,” katanya.

Katanya, pihak kementerian dalam proses memuktamadkan semua syarat permohonan/pengoperasian dan dokumen tawaran berkaitan penyediaan perkhidmatan pemeriksaan berkala oleh pihak berminat.

“Justeru, proses pelawaan ini dijangka akan hanya bermula selewat-lewatnya dalam suku pertama 2024,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.