Masalah kewangan Pharmaniaga cetus kebimbangan bekalan ubat

Masalah kewangan Pharmaniaga cetus kebimbangan bekalan ubat

Persatuan Farmaseutikal Malaysia menggesa dialog terbuka antara Pharmaniaga dan pemegang taruh utama.

Pengarah Eksekutif Persatuan Farmaseutikal Malaysia Chan Li Jin, berkata sebahagian syarikat farmaseutikal belum menerima bayaran untuk bekalan ubatan.
PETALING JAYA:
Persatuan utama mewakili firma farmaseutikal di Malaysia melahirkan kebimbangkan mengenai masalah kewangan syarikat Pharmaniaga Bhd dan berkata, ia boleh menjejaskan akses pesakit untuk mendapatkan ubatan jika isu itu tidak diselesaikan segera.

Pengarah Eksekutif Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA), Chan Li Jin, berkata Nota Amalan (PN17) Pharmaniaga, klasifikasi untuk syarikat yang menghadapi masalah kewangan, menyebabkan “ketidakpastian dan kebimbangan” dalam pembekal ubatan.

Pharmaniaga adalah pemegang konsesi untuk perolehan ubatan dan bekalan perubatan kepada hospital dan klinik kerajaan.

Syarikat itu bertanggungjawab mendapatkan lebih satu pertiga bekalan atau lebih 700 jenama ubatan untuk kerajaan, dan juga lojistik serta pengedaran ubatan tersebut.

Chan Li Jin.

Chan berkata, situasi kewangan Pharmaniaga mewujudkan perasaan kurang senang terhadap kemampuan Pharmaniaga membayar firma farmaseutikal untuk bekalan ubatan walaupun mendapat jaminan syarikat itu.

Katanya, sejak tiga minggu lalu, Pharmaniaga menghantar surat jaminan kepada syarikat farmaseutikal bagi memberi jaminan operasinya akan tetap kukuh dan semua kewajipan kewangan kepada pemegang taruh akan dipenuhi.

Bagaimanapun, katanya, sebilangan syarikat farmaseutikal belum menerima bayaran untuk bekalan ubatan.

“Dalam keadaan biasa, penghantaran bekalan akan dihenti sementara sehingga bayaran selesai,” kata Chan kepada FMT.

“Bagaimanapun, syarikat farmaseutikal terus membekalkan ubatan mereka atas dasar tanggungjawab terhadap nyawa dan kesihatan pesakit, kerana sebahagian ubatan tersebut adalah untuk menyelamatkan nyawa.

“Namun, ketidakpastian tetap ada kerana melibatkan jumlah yang besar (bekalan ubatan),” katanya dan menambah situasi itu mungkin boleh menyebabkan pesakit menunggu hingga beberapa bulan untuk ubatan mereka jika situasi berterusan.

Chan menggesa dialog terbuka diadakan antara Pharmaniaga dan pemegang taruh utama termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan untuk mencari jalan penyelesaian.

Pada 27 Feb lalu, Pharmaniaga mengumumkan syarikat itu diletakkan bawah klasifikasi PN17 selepas merekodkan kerugian bersih terbesar RM664.39 juta untuk suku tahun keempat berakhir 31 Dis 2022.

Kumpulan farmaseutikal itu juga berkata, ia menyediakan RM552.3 juta untuk vaksin Covid-19 yang tidak dapat dijual.

Pengumuman itu menyebabkan saham syarikat itu menjunam 50% daripada 44 sen kepada serendah 22 sen seunit. Sehingga 2 petang hari ini, saham Pharmaniaga kekal pada 30 sen.

Pharmaniaga memberi jaminan syarikat itu komited melaksanakan pelan regulasi untuk mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan dan memastikan daya maju aktiviti perniagaan teras.

FMT menghubungi Pharmaniaga untuk mendapatkan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.