Malaysia gesa PBB tubuh agensi urus isu air

Malaysia gesa PBB tubuh agensi urus isu air

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia bagi melaksanakan Agenda Tindakan Air serta berperanan dalam menangani krisis air.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata agensi urus air harus dijadikan agenda tetap dalam rangka kerja PBB. (Gambar PBB)
KUALA LUMPUR:
Malaysia mencadangkan sebuah agensi khusus untuk air di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) diwujudkan bagi melaksanakan Agenda Tindakan Air, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Bercakap sempena Persidangan Air 2023 PBB di New York, Amerika Syarikat pada Khamis, beliau berkata Agenda Tindakan Air memerlukan rangka kerja yang menegaskan mengenai peranan air sebagai tonggak menghubungkan hasil sosial, alam sekitar, ekonomi dan budaya.

Perkara ini, katanya, harus dijadikan agenda tetap dalam rangka kerja PBB.

“PBB perlu terus membantu mewujudkan mekanisme bagi membolehkan negara maju menyediakan bantuan kewangan dan teknikal, dan pembangunan kapasiti untuk mempercepatkan pencapaian SDG 6 (Matlamat Pembangunan Mampan 6),” katanya.

Nik Nazmi turut meminta masyarakat global memperakui krisis iklim adalah krisis air memandangkan dunia berdepan kekurangan air, peruntukan sanitasi tidak mencukupi, bencana lebih teruk dan kerap, serta kejadian cuaca ekstrem.

Beliau menegaskan panel antara kerajaan mengenai perubahan iklim dalam Laporan Penilaian Keenam memaklumkan, golongan paling terdedah sering terjejas secara tidak seimbang dan diketepikan secara berlebihan sekali gus mencetuskan cabaran besar untuk pembangunan selatan global.

“Perubahan iklim memburukkan dan melebarkan jurang pembangunan sedia ada. Air adalah tumpuan untuk menangani isu ini,” katanya.

Selain itu, beliau juga menggesa satu rangka kerja diadakan untuk daya tahan dan ia harus bermula dengan air, dengan menggabungkan iklim, alam sekitar dan pembangunan.

Nik Nazmi juga menegaskan setiap rancangan pembangunan mesti mempertimbangkan elemen berkaitan air dan impaknya diterima tidak harus mengabaikan alam sekitar demi pertumbuhan, dan tindakan untuk air juga harus diberikan keutamaan berbanding perubahan iklim dan sebaliknya.

Berucap kepada perwakilan pada persidangan itu, beliau turut berkongsi beberapa kejayaan Malaysia termasuk Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart) yang bukan sahaja berfungsi untuk mengurangkan risiko banjir tetapi juga berkesan dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

Katanya, Malaysia berjaya mencapai 97% akses bekalan air manakala perkhidmatan pembetungan telah mencapai 85.4% terutama di bandar utama.

Pada penghujung 2025, beliau berkata Malaysia menyasarkan untuk mencapai 98% liputan air bersih untuk kawasan luar bandar dan 90% khidmat liputan pembetungan.

Nik Nazmi menegaskan komitmen Malaysia terhadap keselamatan air dan akses kepada sistem bekalan air dan sanitasi boleh dipercayai, mencukupi, bersih dan berkualiti untuk dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.