
Presidennya Adnan Mat, berkata ini kerana sistem pentadbiran perkhidmatan awam dari semasa ke semasa mengalami peningkatan yang baik dan menyeluruh melalui transformasi dilaksanakan kerajaan.
“Little Napoleon” merujuk kepada penjawat awam bawahan yang berada di sesuatu kedudukan tetapi berlagak seolah-olah begitu berkuasa seakan pegawai yang berada di peringkat tertinggi.
“Secara umumnya setiap penjawat awam tertakluk kepada Perintah Am yang diperincikan pelaksanaannya melalui pekeliling dan ditambah baik dari masa ke masa supaya mutu perkhidmatan sentiasa menepati keperluan pihak berkepentingan khususnya rakyat.
“Namun sudah tentu apabila melibatkan organisasi besar seperti perkhidmatan awam, terdapat segelintir kecil penjawat awam yang mempunyai sedikit kuasa ini tersasar daripada landasan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran bulan wakaf peringkat Negeri Sembilan 2023.
Bagaimanapun, Adnan berkata ia tidak menggambarkan imej keseluruhan perkhidmatan awam kerana kebanyakannya adalah persepsi semata-mata berikutan kes terdahulu mengakibatkan perkara itu dilihat seolah-olah masih berlaku secara berleluasa termasuk melalui media sosial.
Justeru, katanya, ketua jabatan setiap agensi dan jabatan masing-masing perlu tegas selain memberikan penekanan kepada setiap pegawai bawahan untuk menghormati proses dan prosedur kerja.
“Sifat memilih pegawai tertentu juga tidak wajar dilakukan kerana ia boleh menyebabkan mereka yang terpilih ini merasa ‘kebal’ dan arahan mereka lebih tinggi daripada prosedur kerja yang ditetapkan,” katanya.
Katanya, setiap jabatan juga perlu bersedia menerima aduan atau pandangan daripada kakitangan bawahan bagi memastikan gejala “Little Napoleon” tidak berleluasa.
Majlis pelancaran bulan wakaf itu disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir.