
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata konvoi kembara itu akan menjadi acara utama antara sembilan program berskala besar diatur sempena sambutan perayaan bertemakan “Sarawak Maju Makmur”.
Beliau berkata, Konvoi Kembara Sarawak Merdeka akan bermula di Limbang pada 28 Mei ini dan berakhir di Kuching pada 22 Julai nanti.
“Premier Sarawak (Abang Johari Openg) bersetuju mengikuti (konvoi kembara) peringkat kedua bermula 10 Jun dari Miri ke Bintulu, sama ada menggunakan motosikal atau kereta,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata, acara kedua ialah Pameran Digital 60 Tahun Sarawak yang akan diadakan di semua bahagian dan menjelajah bersama konvoi kembara itu bermula 28 Mei sehingga 22 Julai ini, selain Majlis Kesyukuran Perdana di masjid dan rumah ibadat di seluruh negeri pada 21 Julai.
Karim berkata, acara kemuncak sambutan tahun ini ialah perhimpunan dan perarakan raksasa di Padang Merdeka, di sini, bermula 8.30 pagi 22 Julai, disusuli majlis penyampaian pingat peringatan kepada individu berjuang untuk pembangunan Sarawak sepanjang enam dekad kemerdekaannya.
Katanya, pada sebelah malam hari sama, majlis Jamuan Negeri sempena sambutan itu akan diadakan di bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, selain konsert rakyat dan persembahan bunga api di Padang Merdeka bermula 8 malam.
Menurutnya, sambutan itu akan turut diserikan dengan perarakan kapal berhias di Tebingan Kuching pada 29 Julai, selain persembahan “Street Parade” di bandar raya ini pada 5 Ogos, Sibu (12 Ogos) dan Miri (19 Ogos).