Tangani isu punca pelajar tercicir, kata kumpulan ibu bapa

Tangani isu punca pelajar tercicir, kata kumpulan ibu bapa

Pihak berwajib tidak seharusnya terlepas pandang masalah kemiskinan dan isu lain yang menyebabkan pelajar tercicir dari sekolah, kata Noor Azimah Abdul Rahim daripada PAGE.

Langkah mewajibkan pendidikan sekolah menengah dikatakan boleh menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara.
PETALING JAYA:
Aktivis mengalu-alukan keputusan kerajaan mewajibkan pendidikan sekolah menengah tetapi meminta perhatian diberikan terhadap beberapa masalah asas.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata, pihak berwajib tidak seharusnya terlepas pandang masalah kemiskinan dan isu lain yang menyebabkan pelajar tercicir dari sekolah.

“Kementerian harus menyiasat bagi menentukan punca utama, dengan matlamat menangani dan menyelesaikan isu-isu ini,” katanya kepada FMT.

“Sokongan mesti diberikan kepada ibu bapa untuk memastikan mereka tidak dibiarkan menyelesaikan cabaran sendiri.”

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu meningkatkan usaha memberikan kesedaran tentang kepentingan pendidikan.

“Kesedaran dalam masyarakat tentang kepentingan pendidikan untuk masa depan amat diperlukan,” katanya.

“Kerjasama masyarakat diperlukan untuk melaporkan kanak-kanak tercicir daripada sistem persekolahan disebabkan ibu bapa yang tidak bertanggungjawab.”

Pada Selasa, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya telah menyerahkan draf kepada Jabatan Peguam Negara mengenai cadangan mewajibkan pendidikan sekolah menengah.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia Syed Hussain Husman berkata, mewajibkan pendidikan sekolah menengah boleh menyebabkan peningkatan pekerja mahir sedia ada.

“Kementerian Pendidikan harus menggalakkan pelajar sekolah menengah untuk mengikuti kursus kemahiran melalui sekolah vokasional supaya negara kita melahirkan lebih ramai tenaga kerja berbakat dengan kemahiran yang sesuai untuk memenuhi permintaan pasaran buruh dalam jangka masa panjang,” katanya.

Katanya, langkah itu juga boleh menyebabkan penurunan kes perkahwinan bawah umur dan buruh kanak-kanak.

Setiausaha agung Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong juga mempunyai pendapat sama. Katanya, langkah mewajibkan pendidikan sekolah menengah boleh menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara.

“Ini sudah tentu akan membantu kekurangan tenaga kerja dalam pelbagai industri tempatan, terutamanya apabila kita mempunyai ramai orang berbakat yang keluar mencari pekerjaan di negara lain,” katanya.

Chin menggesa KPM agar meningkatkan kerelevanan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, selain mengadakan aktiviti serta program untuk meningkatkan minat pelajar dalam mata pelajaran ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.