
Lihanna Borhan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan ahli psikologi tingkah laku Sitra Panirsheeluam daripada klinik kesihatan mental The Mind Faculty bersetuju bahawa pornografi menyumbang kepada kesalahan seksual.
Lihanna berkata, penyelidikan menunjukkan bahawa lelaki yang mempamerkan sikap “kelelakian toksik” lebih cenderung melakukan jenayah seks jika mereka ketagih pornografi. Menurut Sitra, “penggunaan bahan pornografi berlebihan” boleh memupuk tingkah laku sadis, seterusnya membawa kepada jenayah seks.
Ketagihan pornografi harus dirawat seperti ketagihan lain, tambah mereka.
“Mereka (yang ketagih pornografi) perlu bantuan profesional,” kata Lihanna.
“Menyekat laman web (pornografi) tidak akan menyelesaikan masalah. Penagih bahan lucah akan mencari cara lain untuk mengaksesnya.”
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu baru-baru ini mencadangkan agar pornografi disekat dengan berkata, ia meningkatkan insiden jenayah seks.
Jumlah kes jenayah seks meningkat kepada 12,890 tahun lepas daripada 11,092 yang dicatatkan pada 2020.
Sitra berkata, ketagihan kepada bahan lucah ialah isu kesihatan mental yang memerlukan campur tangan profesional.
“Tetapi kita tidak melihatnya sebagai isu kesihatan mental. Ketagihan kepada bahan lucah adalah sama ada tabu atau suatu isu agama dalam sesetengah masyarakat dan ia tidak diendahkan.”
Namun, individu terkesan perlu tahu mereka harus mendapatkan bantuan, katanya.
Sitra berkata, berbanding bergantung semata-mata kepada kerajaan untuk mengawal selia internet, orang ramai juga harus mengamal dan menggalakkan kawal selia kendiri. Ini termasuk mendidik golongan muda tentang penggunaan internet yang selamat, tambahnya.
“Kanak-kanak wajib diajar di sekolah untuk lebih memahami perkara berkaitan dengan seksualiti, seperti persetujuan, bahaya bermain mesej berunsur seksual dan menonton pornografi ketika bawah umur.”
Penjaga dan pendidik perlu diberi kursus pendek supaya mereka boleh membimbing kanak-kanak menggunakan internet dengan selamat, katanya.