
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, SJKP yang dipersetujui kerajaan melalui Belanjawan 2023 antara Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) yang dilancarkan kementerian itu dengan kerjasama Kementerian Kewangan tahun lalu.
Katanya, kerajaan melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad bersetuju menyediakan jaminan pembiayaan melalui SJKP sehingga RM5 bilion nilai pinjaman yang bakal memanfaatkan 20,000 peminjam.
“SJKP adalah program menawarkan pembiayaan perumahan tanpa perlu membayar wang pendahuluan kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau kumpulan ekonomi gig.
“Sehingga 31 Dis 2022, seramai 16,808 peminjam menerima manfaat dengan nilai pinjaman RM2.32 bilion daripada pelaksanaan SJKP ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, KPKT akan terus menyokong usaha membantu peminjam mencapai impian pemilikan rumah sejajar aspirasi dan keprihatinan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.
“Justeru, inisiatif ini akan membolehkan profil pembeli B40 dan M40 lebih kompetitif untuk mendapat tawaran pembiayaan rumah daripada institusi kewangan,” katanya.
Semalam, syarikat perbadanan yang bertanggungjawab menguruskan SRP, Cagamas Bhd mengumumkan skim itu yang mula diperkenalkan pada 2011 akan dimansuhkan 1 April ini.
KPKT berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan SRP, seramai 86,708 peminjam mendapat manfaat daripada nilai pembiayaan berjumlah RM19.9 bilion.