
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, jasa Patahiyah kepada negeri itu amat dihargai dan tiada silih ganti.
“Bagi pihak kerajaan Pulau Pinang, salam takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga bekas datuk bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Patahiyah Ismail yang menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi.
“Saya berharap agar seluruh ahli keluarga, kenalan dan rakan Allahyarhamah bersabar serta tabah dalam menghadapi kehilangan insan disayangi,” tulisnya dalam catatan di Facebook.
Datuk Bandar ketika ini, Yew Tung Seang turut mengucapkan takziah dan berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kerana berpeluang bekerjasama dengan Patahiyah.
“Arwah bukan saja datuk bandar pertama bagi MBPP, beliau juga bos saya semasa kami bertugas di Jabatan Kawalan Bangunan.
“Saya berasa syukur dan berterima kasih atas segala tunjuk ajar arwah. Segala bakti dan jasa Patahiyah kepada MBPP dan Pulau Pinang tidak pernah dilupai,” tulisnya di Facebook.
Patahiyah dilantik sebagai datuk bandar pada 2015 selepas Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Pulau Pinang sebagai bandaraya.
Beliau juga wanita pertama dilantik mengetuai Majlis Perbandaran Pulau Pinang pada 2010.