Bina MRSM berbayar tak libat peruntukan kerajaan, kata TPM

Bina MRSM berbayar tak libat peruntukan kerajaan, kata TPM

Ahmad Zahid Hamidi turut memberikan jaminan bahawa MRSM berbayar tidak akan didirikan di atas tanah Mara yang dikhususkan untuk memanfaatkan rakyat miskin.

Cadangan mewujudkan MRSM berbayar terbit ekoran permintaan tinggi kemasukan ke sekolah itu, iaitu 300% daripada kapasiti sedia ada, kata Ahmad Zahid Hamidi.
KUALA LUMPUR:
Cadangan mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar bagi golongan berkemampuan tidak akan melibatkan peruntukan daripada kerajaan, menurut Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, pelan futuristik yang sedang disusun atur Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu akan menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) serta kerjasama dengan institusi kewangan.

Zahid juga memberikan jaminan MRSM berbayar berkenaan tidak akan didirikan di atas tanah Mara yang dikhususkan untuk memanfaatkan rakyat miskin.

“Kita akan bekerjasama dengan beberapa pihak menggunakan jalinan pintar (smart partnership) untuk pembinaannya,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) sama ada kerajaan akan menggunakan tanah Mara dikhususkan buat rakyat miskin dan B40 bagi persekolahan anak-anak golongan T20 dan M40.

Menurutnya, MRSM berbayar itu boleh dilaksanakan dengan mengambil contoh pelaksanaan Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka.

“Atas pengalaman peribadi saya, saya telah menubuhkan Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab tanpa sesen pun peruntukan daripada kerajaan. Sekolah itu telah berjalan (operasinya) selama 11 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid berkata, cadangan mewujudkan MRSM berbayar terbit ekoran permintaan tinggi kemasukan ke MRSM, iaitu 300% daripada kapasiti sedia ada.

“Kita telah melakukan kajian kebolehlaksanaan dan mendapati ramai pelajar-pelajar berkelayakan memasuki MRSM dari segi akademik tetapi tidak layak dari segi ‘bracket’ pendapatan ibu bapa mereka terutama kumpulan T20 dan M40.

“Salah satu syarat kemasukan (MRSM) ialah keutamaan kepada kumpulan B40,” katanya sambil menambah, terdapat juga terlalu banyak permintaan daripada alumni MRSM yang mahukan anak-anak mereka memasuki institusi itu.

Justeru, katanya, Mara akan membuka ruang seluas-luasnya bagi anak-anak golongan berkenaan memasuki MRSM tanpa kompromi dari segi kualiti dan kelulusan minimum akademik.

Menjawab mengenai aduan kos tersembunyi di MRSM sedia ada seperti pembelian baju bagi program tertentu di sekolah yang dibangkitkan Syed Saddiq, Zahid berkata, beliau akan bertemu pengerusi persatuan ibu bapa dan guru MRSM bagi mencari jalan agar pelajar golongan B40 tidak terbeban.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.