‘Thai Hot Guy’ promosi hedonistik, PAS gesa DBKL campur tangan

‘Thai Hot Guy’ promosi hedonistik, PAS gesa DBKL campur tangan

Setiausaha agung PAS berkata acara itu mempromosikan budaya hedonistik, lucah dan seks bebas serta aksi menjolok mata kepada pengunjung secara terbuka.

Takiyuddin Hassan berkata tindakan itu bertentangan budaya tempatan dan tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, apatah lagi ia diadakan pada Ramadan.
PETALING JAYA:
PAS menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) campur tangan dan mempertimbangkan semula kebenaran acara menampilkan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand dijadualkan berlangsung di sebuah bar pada 30 Mac ini.

Kumpulan pelayan dikenali sebagai “Thai Hot Guy” itu diundang oleh penganjur dan mereka akan menampilkan diri dengan berpakaian dalam wanita, yang menjadi tarikan utama sempena perasmian sebuah bar di Jalan Tun Razak.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata tindakan itu bertentangan budaya tempatan dan tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, apatah lagi ia diadakan pada Ramadan.

Katanya, kebebasan individu atau ekonomi tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membenarkan atau melakukan perbuatan cenderung ke arah negatif.

“Sewajarnya semua pihak mempunyai tanggungjawab sivik bagi memastikan masyarakat kita tidak terdedah kepada budaya merosakkan dan tidak membina seperti ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, acara itu mempromosikan budaya hedonistik, lucah dan seks bebas berdasarkan makluman dalam bahasa Cina dengan terjemahan Inggeris, yang turut disertakan gambar aksi menjolok mata kumpulan berkenaan dengan pengunjung secara terbuka.

“Maklumat mengenainya di Facebook milik bar berkenaan menetapkan acara pada 6 petang, dan terhad kepada 250 pengunjung,” katanya.

Pada masa sama, Takiyuddin berkata, PAS kesal apabila nama bekas perdana menteri Abdul Razak Hussein diberi kebenaran untuk digunakan sebagai nama sebuah bar.

Katanya, perbuatan itu sangat tidak sensitif mahupun bertanggungjawab malah menghina nama baik pemimpin negara.

“Agensi pendaftaran syarikat juga perlu lebih berhati-hati dalam hal ini dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan individu atau syarikat mendaftarkan nama perniagaan mereka tanpa mengambil kira faktor seperti kesesuaian dan kewajaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.