Tak salah lawat rumah ibadat agama lain, kata menteri Sarawak

Tak salah lawat rumah ibadat agama lain, kata menteri Sarawak

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata lawatan ke rumah ibadat agama lain tidak menyebabkan seseorang menukar kepercayaannya.

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau belajar di sekolah mubaligh dan ia tidak menjejaskan kepercayaannya terhadap Islam.
PETALING JAYA:
Tidak salah untuk seseorang melawat rumah ibadat agama lain, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Melawat gereja atau kuil tidak menyebabkan anda ‘kurang Islam’. Ia juga tidak menyebabkan kepercayaan anda berubah,” katanya kepada pemberita dalam satu program di Kuching.

Karim mengulas kecaman terhadap Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, ekoran pembabitan kementerian dalam program “Jom Ziarah Gereja”.

Katanya, melawat rumah ibadat agama lain bukan satu masalah di Sarawak kerana kebanyakan penduduk termasuk dirinya sendiri belajar di sekolah mubaligh.

“Saya mengambil subjek kajian kitab Bible untuk Peperiksaan Senior Cambridge. Ia antara subjek yang saya ambil,” katanya, dan menambah subjek itu tidak membuatkan beliau hilang kepercayaan kepada agamanya.

Karim berkata Hannah berniat “baik” dan menteri itu cuba menjadikan rakyat lebih harmoni serta lebih bertoleransi antara satu sama lain.

“Jangan beritahu saya kepercayaan orang Islam sangat rendah dan mereka akan menukar kepada agama Kristian hanya dengan bawa ke gereja.

“Ia tidak semudah itu,” katanya.

Pada minggu lalu, pembantu Hannah membuat laporan polis terhadap Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard, yang didakwa memberi gambaran bahawa agensi Kementerian Belia dan Sukan menjadi “Kristian Evangelist”.

Impact Malaysia menganjurkan program melawat sebuah gereja di Klang, sebahagian inisiatif “Jom Ziarah” yang bertujuan memupuk kefahaman dalam kalangan remaja daripada pelbagai kepercayaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.