
Karim berkata, Sarawak mempunyai garis panduan sendiri mengenai penganjuran konsert.
“Tetapi sudah pasti, saya tidak mahu artis luar negara membuat persembahan dalam keadaan bogel di atas pentas. Ada beberapa peraturan yang perlu mereka patuhi, tetapi kita masih fleksibel,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Kuching.
Katanya, dua artis yang mengambil bahagian di “Festival Rainforest World Music” di Sarawak tahun lalu tidak dibenarkan membuat persembahan di negeri lain kerana gaya pemakaian dan persembahan mereka.
“Tidak mungkin mereka mendapat permit sekiranya mahu membuat persembahan di Kuala Lumpur,” katanya.
“Bagaimanapun, kami benarkan. Ini menunjukkan kebebasan atau autonomi kita di sini, kita boleh membuat keputusan sendiri.”
Minggu lalu, beberapa penggiat industri hiburan melahirkan kebimbangan mengenai kesan garis panduan baharu untuk penganjuran konsert.
Garis panduan baharu itu yang berkuat kuasa tahun depan, melarang artis antarabangsa mengadakan konsert besar pada malam dan ketika sambutan perayaan Islam.
Larangan itu termasuk sepanjang Ramadan, Awal Muharram, Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Nisfu Sya’ban, Nuzul Quran, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Artis lelaki juga dilarang membuat persembahan dengan memakai pakaian wanita, dan artis lelaki serta wanita dilarang membuka baju ketika di atas pentas.