Penganjur diberi amaran, acara ‘Thai Hot Guy’ batal

Penganjur diberi amaran, acara ‘Thai Hot Guy’ batal

Ketua Polis Wangsa Maju Ashari Abu Samah berkata pihaknya memberikan amaran keras kepada penganjur supaya program itu tidak diteruskan.

Poster mengenai persembahan ‘Thai Hot Guy’ sempena perasmian sebuah bar di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganjur acara hiburan “Thai Hot Guy” sempena pembukaan sebuah bar di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, membatalkan persembahan dijadualkan berlangsung 30 Mac ini, selepas akur amaran polis.

Ketua Polis Wangsa Maju, Ashari Abu Samah, berkata pihaknya memberikan amaran keras kepada penganjur supaya program itu tidak diteruskan dan dibatalkan.

“Pihak penganjur dan pengurusan akur untuk membatalkan program berkenaan dan tiada sebarang aktiviti yang tular sebelum ini akan diadakan.

“Polis akan membuat pemantauan berterusan ke atas premis berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Ashari Abu Samah.

Ashari berkata, keputusan membatalkan program itu dicapai dalam pertemuan antara penganjur dan IPD Wangsa Maju, petang tadi.

Keputusan itu dibuat susulan pelbagai kecaman dan reaksi diterima daripada seluruh lapisan masyarakat berhubung acara itu.

“Promosi berkaitan program hiburan ini menimbulkan reaksi yang tidak menyenangkan serta kecaman daripada pelbagai pihak dan semakan sehingga 4 petang tadi mendapati sebanyak 60 laporan polis diterima bagi membantah penganjuran program berkenaan.

“Polis peka mengenai penganjuran program menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai tidak menjalankan aktiviti yang melanggar undang-undang sehingga menggugat ketenteraman awam.

Terdahulu, PAS menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) campur tangan dan mempertimbangkan semula kebenaran acara menampilkan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand itu.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata tindakan itu bertentangan budaya tempatan dan tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, apatah lagi ia diadakan pada Ramadan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.