Pekebun kecil hantar petisyen desak EU ubah peraturan anti-penebangan hutan

Pekebun kecil hantar petisyen desak EU ubah peraturan anti-penebangan hutan

MPOC berkata peraturan anti-penebangan hutan itu akan menghalang eksport minyak sawit ke pasaran Eropah.

Anggota delegasi Malaysia menyerahkan petisyen kepada wakil Kesatuan Eropah di Brussels.
PETALING JAYA:
Wakil beberapa pertubuhan peladang dan pekebun kecil utama negara berada di Brussels untuk menghantar petisyen kepada Kesatuan Eropah (EU) menggesa perubahan terhadap Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR)

Lawatan ke Brussels susulan bantahan minggu lalu oleh ratusan peladang kecil kelapa sawit dan getah dari Felda, Felcra, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) terhadap peraturan baharu itu.

Secara keseluruhan, kumpulan itu mewakili kira-kira 2.5 juta pekebun kecil dan keluarga mereka.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dalam kenyataan berkata, EUDR mengancam kehidupan pekebun kecil dan masa depan mereka.

“Peraturan ini hanya melibatkan sebelah pihak dan permintaan yang tidak realistik terhadap kebolehkesanan dan lokasi geografi sekali gus menghalang pekebun kecil memasuki pasaran Eropah.

“Ini akan memberi kesan kepada kehidupan komuniti pekebun, mengurangkan pendapatan mereka dan menjejaskan Sasaran Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

CEO MPOC, Belvinder Sron, menggesa EU memberikan pengecualian terhadap pekebun kecil dan memberi jaminan bahawa Malaysia tidak diletakkan sebagai negara berisiko tinggi penebangan hutan.

Katanya, MPOC akan terus berhubung dengan EU di Kuala Lumpur dan Brussels, tetapi tumpuan utama adalah menyokong hak pekebun kecil untuk menghasilkan dan mengeksport minyak sawit mereka.

EUDR diperkenalkan pada November 2021 untuk mengehadkan penebangan hutan yang berpunca daripada penggunaan komoditi dan produk pertanian di seluruh dunia.

Peraturan itu menyenaraikan minyak sawit sebagai salah satu komoditi yang memacu pembasmian hutan menerusi perluasan tanah pertanian.

Pelaksanaan EUDR dijangka memberi kesan ketara terhadap penggunaan minyak sawit di EU. Pengkritik berkata, ia akan memberi imej negatif terhadap minyak sawit Malaysia, yang membawa kepada pengurangan eksport ke EU dan kemungkinan di seluruh dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.