
Katanya, ia susulan pengumuman penghapusan sebahagian hutang atau pinjaman peneroka oleh kerajaan.
Beliau berkata, edaran penyata hutang peneroka itu sudah lama dilaksanakan, iaitu mengikut jenis hutang atau pinjaman peneroka.
“Terdapat dua kategori utama hutang peneroka Felda, iaitu hutang ladang dan hutang sosioekonomi. Sebelum ini, peneroka terbabit dibekalkan penyata hutang mengikut jenis pinjaman melalui pejabat Felda di (tanah) rancangan.
“Dalam usaha menyediakan kemudahan secara berterusan, Felda sedang menambah baik keupayaan sistem dan pengurusan maklumat hutang bagi memastikan maklumat penyata yang tepat dapat dikeluarkan dalam tempoh munasabah,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berhubung status penyata hutang peneroka Felda yang sehingga kini tidak wujud, menyebabkan mereka tidak jelas dengan perincian hutang yang harus dibayar.
Azalina berkata, pengurusan Felda melakukan penambahbaikan dengan mengeluarkan penyata keseluruhan hutang peneroka dan menyenaraikan semua jenis pinjaman dalam satu penyata.
“Edaran penyata hutang peneroka ini dilaksanakan melalui portal yang boleh diakses peneroka bila-bila masa, selain boleh dicetak melalui pejabat Felda di (tanah) rancangan masing-masing.”
Pada 24 Feb lalu, Azalina dilaporkan berkata, kerajaan sedang menghentikan inisiatif memansuhkan sebahagian daripada pinjaman peneroka Felda kerana langkah berterusan itu memberi impak besar terhadap aliran tunai Felda.
Pada Julai 2021, Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin mengumumkan pentadbirannya bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion, tertakluk kepada syarat tertentu.
Katanya, pelupusan itu dapat mengurangkan beban pinjaman peneroka sebanyak 80%.
Pelupusan bersyarat itu merangkumi pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula (92,441 peneroka), pelarasan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja (52,180 peneroka), pelarasan sepenuhnya baki pinjaman saham FGV Holdings Bhd (38,043 peneroka) dan pelarasan sepenuhnya baki pinjaman pembangunan asal (6,711 peneroka).