
Beliau berkata, hal ini kerana bukan semua murid beragama Islam berpuasa terutama yang masih kecil, selain menyantuni murid bukan beragama Islam.
“Ini ialah kerajaan madani, kerajaan inklusif…kedua-dua pihak saling menghormati, yang berpuasa kena santuni yang tidak berpuasa, yang tidak berpuasa perlu belajar menghormati mereka yang berpuasa.
“Kita tidak mahu ada senario (murid) makan di dalam stor atau di tepi longkang, saya tidak mahu situasi seperti itu (berlaku).
“Saya pasti ada kanak-kanak Muslim yang tidak berpuasa di awal umur yang tiada kewajipan untuk mereka berpuasa melainkan mereka ingin belajar berpuasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah Yayasan Petronas 2023 di Sekolah Pendidikan Khas Jalan Batu (L).
Fadhlina berkata, pengusaha kantin juga perlu berbincang dengan pihak sekolah berhubung perkara itu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) untuk tidak membuka kantin pada Ramadan jika ada sekolah yang mempunyai bilangan pelajar bukan Islam tidak ramai iaitu kurang 10%.
Semalam, Setiausaha Agung PPKSM, Siti Normah Md Desa, berkata sekiranya kantin dibuka, pengusaha perlu menanggung kos pengoperasian yang tidak boleh ditampung oleh nilai jualan diperoleh.
Sementara itu, Fadhlina berkata, pihaknya menyambut baik pandangan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sindrom Down (PPDKSD) dalam menambah baik silibus pembelajaran untuk kanak-kanak Sindrom Down bagi persiapan mereka ke alam pekerjaan.
“Kami mempunyai sesi libat urus yang sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa, untuk memastikan kurikulum setara dengan keperluan kanak-kanak (Sindrom Down), selain mengambil kira kitaran ansur maju.
“Kami ada kepakaran dalam KPM (Kementerian Pendidikan) untuk soal mengubah kurikulum itu dan sesi libat urus akan berterusan dengan mengambil kira input-input daripada semua (pihak),” katanya.
Pada majlis itu, seramai 30 murid kurang upaya menjadi penerima awal sumbangan pek “kembali ke sekolah” oleh Yayasan Petronas yang mengandungi baucar satu set pakaian sekolah, kasut, stoking dan baju sukan, selain kit peralatan seperti beg sekolah, set alat tulis, pensel warna dan kalkulator saintifik.