Pejuang dukacita, matlamat satukan undi Melayu tak disambut PN

Pejuang dukacita, matlamat satukan undi Melayu tak disambut PN

Setiausaha Agung Pejuang Amiruddin Hamzah berkata mendukacitakan apabila iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang Melayu tidak disambut pimpinan PN.

Setiausaha Agung Pejuang Amiruddin Hamzah berkata penolakan itu tidak menghentikan langkah Pejuang untuk kekal dalam arena politik dan menghadapi PRN akan datang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pejuang meluahkan kekecewaan susulan permohonan menyertai Perikatan Nasional (PN) ditolak Majlis Tertinggi gabungan itu.

Setiausaha Agung Pejuang, Amiruddin Hamzah, berkata sesuatu yang mendukacitakan apabila iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang Melayu tidak disambut pimpinan PN.

“Pejuang dimaklumkan bahawa semalam Majlis Tertinggi PN bermesyuarat untuk antara lainnya membincangkan permohonan Pejuang menyertai gabungan PN.

“Pejuang dimaklumkan bahawa permohonan ini ditolak. Adalah amat mendukacitakan bahawa iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang Melayu tidak disambut pimpinan PN,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata penolakan itu tidak menghentikan langkah Pejuang untuk kekal dalam arena politik dan menghadapi PRN akan datang.

“Pejuang akan sentiasa kekal dalam arena politik negara untuk mempertahan ‘rule of law’ dan membawa amanat perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air.

“Dengan itu, Pejuang akan terus menggerakkan jentera di kawasan tertentu untuk bersiap sedia menghadapi PRN akan datang,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin, dalam kenyataan memaklumkan permohonan Pejuang menyertai PN ditolak.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN dipengerusikan Muhyiddin Yassin, semalam.

Sebelum ini, Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir, memaklumkan pihaknya sudah mengutus surat kepada Muhyiddin selaku pengerusi PN supaya partinya diterima sebagai anggota komponen gabungan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.