
Pemandu van pelancong, Elanggovan Muniyandi dan pemandu teksi, Vengateswaran Malaisamy, masing-masing berusia 51 tahun, dituduh atas insiden yang berlaku di Restoran Nasi Kandar Pelita kira-kira 7.40 malam 16 Mac lalu.
Klip video pergaduhan itu tular di media sosial.
Elanggovan berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan penyepit makanan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Dia turut menghadapi tiga pertuduhan lain bersama Vengateswaran di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan, Seksyen 427 iaitu melakukan khianat dengan membaling pinggan milik restoran dan Seksyen 509 kerana mengeluarkan kata-kata lucah kepada pekerja asing restoran itu.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Seksyen 427 memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 509 pula memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan kepada mereka.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan Elanggovan dan Vengateswaran masing-masing diikat jamin RM11,600 serta RM8,600.
Mereka juga dilarang mengganggu atau menghampiri mangsa serta diarah melaporkan diri sebulan sekali di balai polis.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi, manakala peguam Lingeswaran Andiappan mewakili Elanggovan dan Vengateswaran.
Perbicaraan akan bersambung 10 Mei nanti.