
“Saya akan memberi syarahan topik terpilih dalam bidang kemanusiaan dan berkaitan pendidikan,” kata bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu dalam catatan di Facebook.
Maszlee tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Hasni Mohammad di Simpang Renggam pada PRU15.
Penyertaan pertama Maszlee dalam politik semasa PRU14 pada 2018 apabila beliau menyertai Bersatu, yang juga sekutu Pakatan Harapan (PH) ketika itu, dan merampas kerusi Simpang Renggam daripada BN.
Sebelum itu, beliau merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).
Maszlee dilantik menteri pendidikan selepas PH mendapat mandat membentuk kerajaan, susulan kemenangannya ke atas BN pada PRU14.
Ketika menjadi menteri pendidikan, beliau terpalit kontroversi seperti penggunaan kasut sekolah hitam dan pengajaran Jawi di sekolah vernakular.
Dua puluh bulan selepas pelantikannya, Maszlee meletak jawatan. Selepas kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020, Maszlee menentang keputusan Bersatu membentuk kerajaan bersama BN dan PAS susulan Langkah Sheraton.
Beliau kemudiannya dipecat parti dan menjadi Ahli Parlimen bebas. Pada November 2021, beliau menyertai PKR selepas lebih setahun menjadi wakil rakyat bebas yang mesra PH.
Pada PRN Johor 2022, Maszlee bertanding di kerusi DUN Layang-Layang, namun tewas kepada calon BN, Abd Mutalip Abd Rahim.
Maszlee turut menerbitkan pelbagai buku, kebanyakannya melibatkan subjek sains sosial dan politik Islam.
FMT telah menghubungi Maszlee untuk mendapatkan ulasan lanjut.