
Sim berkata, bukan setakat pendidikan percuma, graduan STEM juga perlu ditetapkan gaji permulaan bermula RM4,000 bagi lepasan universiti tempatan dan RM2,500 bagi TVET, untuk menggalakkan pelajar memilih aliran kritikal berkenaan.
“Apabila saya tamatkan pengajian 25 tahun yang lalu, gaji sebagai jurutera adalah RM2,000. Sekarang gaji permulaan jurutera hanyalah RM2,500. Ini langsung tidak masuk akal, sudah 20 tahun berlalu. Graduan TVET dalam jurusan STEM pula hanya dapat gaji minimum RM1500. Kalau terus begini, siapa nak pilih STEM?
“Kalau saya bersusah payah belajar jurusan sains, subjek yang sangat susah, bila tamat pengajian, gaji saya hanya RM1500, kalah kepada abang-abang penghantar p-hailing. Gaji mereka lebih bagus dari saya. Buat apa saya susah payah masuk TVET?,” soalnya.

Sim yang juga timbalan pengarah strategik PKR turut meminta kerajaan supaya tidak kedekut untuk memberikan pendidikan percuma bagi pelajar STEM.
“Kerajaan jangan takut atau kedekut nak beri pendidikan percuma sebab pada masa depan, bila mereka dapat pendapatan yang tinggi, mereka akan bayar cukai. Nilai cukai ini lebih tinggi dan kerajaan akan dapat balik (pulangan pendidikan percuma).
“Kalau pekerja kita gaji rendah, kita (kerajaan) kena bagi BR1M, pelbagai subsidi. Tapi kalau mereka mendapat pekerjaan yang berkualiti, secara automatik isu-isu ini akan diselesaikan. Mereka bukan lagi B40 tapi sebaik tamat pengajian mereka M40,” jelasnya.
Sim juga menggesa kerajaan mewujudkan laluan pantas atau “express lane” untuk pelajar STEM memasuki institut pengajian tinggi (IPT).
“‘Express lane’ ini bermaksud semua IPTA menawarkan kursus STEM secara terus kepada semua pelajar SPM, tanpa melalui Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau matrikulasi. Keputusan baik dapat tawaran masuk universiti, yang kurang baik, masuk TVET,” katanya yang mengutarakan tiga cadangan itu ketika membahaskan ucapan dasar Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Sim bertegas kemerosotan jumlah pelajar yang memilih aliran STEM semakin membimbangkan dan akan menyebabkan negara ketandusan tenaga kerja mahir sekaligus merugikan negara.
“Saya cadangkan dekat Parlimen, dengan cara ini kita boleh lahirkan satu juta graduan STEM dan TVET dalam masa lima tahun. Saya yakin Malaysia akan maju. Pelabur akan berpusu-pusu masuk ke negara ini.”
Kementerian Pendidikan pada 2020 mendedahkan hanya 47.18% pelajar memilih STEM manakala 26.6% memilih TVET manakala baki 20.51% lagi memilih aliran sains tulen.
Sim bersetuju kerajaan sekurang-kurangnya perlu mencapai sasaran 60% pelajar STEM menjelang 2030 bagi memastikan negara mempunyai bekalan tenaga kerja mahir mencukupi sejajar Matlamat Pembangunan Mampan ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).