Kajian berkait KXP belum muktamad, kata menteri

Kajian berkait KXP belum muktamad, kata menteri

Loke Siew Fook berkata, kementeriannya belum menerima sebarang permohonan rasmi untuk kebenaran aerodrom bagi pembangunan di bawah projek Kedah Aerotropolis itu.

Lakaran berhubung cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) berhubung cadangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) belum dimuktamadkan, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan juga belum menerima sebarang permohonan rasmi untuk kebenaran aerodrom bagi pembangunan di bawah projek Kedah Aerotropolis itu.

Justeru, katanya, tidak timbul soal kerajaan menolak cadangan pembangunan projek itu.

“Kelulusan yang diberikan Majlis Perancangan Fizikal Negara sebelum ini hanyalah secara prinsip dan ia perlu disusuli permohonan mendapatkan aerodrom kepada menteri pengangkutan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengenai perkembangan terkini kajian NASP terhadap pembangunan KXP dan Kedah Aerotropolis.

Menjawab soalan asal Azman berhubung peranan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan projek itu diteruskan, Loke berkata, beberapa siri perbincangan dan mesyuarat sudah diadakan dengan kerajaan Kedah bagi memperincikan cadangan pembangunan KXP.

Katanya, kementerian sudah memaklumkan kepada pemaju dan kerajaan Kedah bahawa cadangan projek pembangunan KXP tertakluk kepada kajian NASP.

“Setakat ini, surat yang pernah dikemukakan kerajaan negeri kepada kementerian adalah surat bertarikh 3 Jan 2021 supaya kementerian memberikan kebenaran kepada pembangunan projek KXP dan Kedah Aerotropolis dengan memberi pengecualian ketika tempoh menunggu menyiapkan kajian NASP atau menggunakan dapatan data-data kajian awalan terdahulu sebagai interim NASP.”

Loke menjelaskan permohonan projek pembangunan aerodrom, termasuk lapangan terbang di Malaysia perlu dibuat mengikut Akta Penerbangan Awam 1969 dan peraturan berkaitan.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan sentiasa mengambil sikap terbuka terhadap sebarang cadangan pembangunan daripada kerajaan negeri mahupun pelabur swasta yang membawa manfaat ekonomi, berdaya saing dan menyumbang kepada pembangunan lestari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.