
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berkata, universiti tidak seharusnya mengenakan “perintah berkurung” bagi menghalang pelajar daripada melakukan aktiviti itu.
Beliau menyeru Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Pendidikan Tinggi bekerjasama bagi memastikan amalan birokrasi itu tidak menjejaskan pelajar.
“Terdapat universiti mengenakan perintah berkurung, walhal pada hakikatnya pelajar ini sudah dewasa.
“Pelajar ini jelas membuktikan mereka merupakan pekerja separuh masa, dan usahawan muda walaupun kecil, tetapi bertapak di luar kampus,” katanya semasa perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023.
“Saya berharap pelajar ini, yang merupakan usahawan kecil-kecilan dan usahawan separuh masa, diberi kelonggaran daripada birokrasi di universiti awam dan swasta selagi mereka boleh menunjukkan bukti.”
Syed Saddiq juga berkata, kerajaan perlu memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti dari peringkat ijazah.