Fasa peralihan monsun dijangka bermula Khamis

Fasa peralihan monsun dijangka bermula Khamis

Semasa fasa itu negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir lazimnya membawa hujan lebat dan angin kencang dalam jangka singkat.

Ribut petir diramalkan berlaku khasnya pada petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah, barat dan tengah Sarawak.
KUALA LUMPUR:
Fasa peralihan monsun dijangka bermula 23 Mac ini dan berterusan sehingga pertengahan Mei nanti, menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut sejak 7 Nov lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata semasa fasa itu, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan.

Orang ramai diingatkan lebih berwaspada ketika tempoh itu dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan MetMalaysia melalui laman sesawang rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan dengan menghubungi Hotline MetMalaysia di talian 1-300-22-1638.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.