
Menurut paparan keputusan tidak rasmi terbaru di Facebook Umno Online setakat 9.30 pagi, Wan Rosdy memperoleh 116 undi.
Ini diikuti Ketua Umno Johor Khaled Nordin yang memperoleh 104 undi dan Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani dengan 96 undi. Azalina Othman Said mengekori rapat di belakang dengan 63 undi.
Khaled adalah salah seorang daripada dua naib presiden yang bertanding untuk mempertahankan jawatan. Seorang lagi penyandang naib presiden, Mahdzir Khalid, hanya memperoleh 30 undi setakat pagi ini.
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan naib presiden sebagai tanda protes terhadap usul parti tidak mempertandingkan dua jawatan tertingginya pada pemilihan.
Calon lain bertanding untuk jawatan itu termasuk bekas Ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Merican Naina Merican; Ahli Parlimen Simpang Renggam Hasni Mohammad; serta ahli bahagian Iskandar Puteri Yusof Musa.
Dalam persaingan merebut 25 kerusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT), dua menteri dan tiga timbalan menteri antara yang mendahului.
Mereka terdiri daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Luar Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Kerja Raya Abdul Rahman Mohamad.
Shamsul mendahului saingan dengan 134 undi, diikuti dekat oleh Zambry (131).
Calon lain termasuk Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin; ahli MKT Puad Zarkashi; bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said; bekas Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub; bekas Ahli Parlimen Kota Belud Abdul Rahman Dahlan; serta Lokman Noor Adam.
Sebanyak 189 bahagian berhak mengundi pada pemilihan parti.