Pemain industri bimbang garis panduan baharu konsert, persembahan langsung

Pemain industri bimbang garis panduan baharu konsert, persembahan langsung

Garis panduan baharu melarang konsert dan persembahan secara langsung oleh artis luar negara sehari sebelum dan pada hari cuti umum Islam.

Garis panduan baharu mengenai konsert dan persembahan langsung dijangka berkuat kuasa pada 2024. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pihak berkepentingan dalam industri hiburan bimbang tentang kesan garis panduan baharu untuk konsert langsung terhadap sektor ini.

Garis panduan baharu itu, yang berkuat kuasa tahun depan, melarang artis luar negara mengadakan konsert besar dan persembahan secara langsung sehari sebelum dan pada hari cuti umum Islam.

Larangan itu meliputi sepanjang Ramadan, Awal Muharram, Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Nisfu Sya’ban, Nuzul Quran, Aidilfitri dan Aidiladha.

Pengasas bersama Industries Unite, David Gurupatham berkata, mengurangkan bilangan hari konsert langsung boleh diadakan bukan sahaja memberikan kesan kepada pemain industri hiburan, tetapi juga subsektor lain yang berkait dengan industri itu.

Industries Unite ialah gabungan terdiri daripada 120 persatuan PKS, institusi dan badan perdagangan berkait industri hiburan.

“Garis panduan itu menyukarkan kami (penganjur acara) untuk mendapatkan bakat terbaik kerana artis luar negara mempunyai kalendar mereka sendiri.

“Ini memberi kesan kepada industri pelancongan juga dari segi hotel dan lokasi untuk konsert diadakan,” kata Gurupatham kepada FMT.

Impak ekonomi garis panduan baharu itu disampaikan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil semasa sesi dialog awam bersama pemain industri pada Khamis.

Mengakui “kesan berganda” konsert dan acara pada ekonomi, Fahmi juga berkata, ia berfungsi sebagai tawaran pelancongan utama, di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pada sesi dialog awam itu, pemain industri membangkitkan kebimbangan seperti takrifan samar-samar persembahan “besar” dan istilah “berpakaian silang jantina”.

Garis panduan baharu itu, yang dikeluarkan agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal), termasuk larangan ke atas penghibur lelaki berpakaian sebagai wanita.

Livescape Group, salah satu penganjur acara dan festival muzik yang paling berjaya di negara ini, memberitahu FMT bahawa “garis panduan tidak jelas” akan memperlahankan proses penganjuran konsert.

Ketua Pegawai Eksekutif Livescape Iqbal Ameer berkata, perkara ini mungkin akan menjadikan artis antarabangsa kurang minat datang ke Malaysia ketika membuat persembahan di rantau ini.

“Jika artis antarabangsa memilih untuk tidak membuat persembahan di sini, kita akan kehilangan peluang ekonomi untuk industri pelancongan dan hiburan,” kata Iqbal.

“Apabila garis panduan samar-samar, maka penganjur terpaksa mengadakan pelbagai dialog berulang-alik dengan badan berkaitan, yang melambatkan proses (penganjuran acara).

“Selama bertahun-tahun, sudah banyak konsert dibatalkan pada saat akhir disebabkan pelbagai isu, menyebabkan kerugian besar kepada penganjur dan (menjejaskan) kredibiliti industri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.