
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan seramai 17,125 orang masih ditempatkan di 70 PPS, berbanding 19,041 orang di 75 PPS yang direkodkan pada 8 malam tadi.
“Batu Pahat mencatatkan mangsa teramai dengan 17,123 orang daripada 4,906 keluarga dan Segamat pula hanya dua orang daripada satu keluarga,” menurut jawatankuasa itu.
Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat ketika dihubungi pagi ini berkata paras air didapati semakin surut di beberapa kawasan di daerah berkenaan.
“Kita menjangkakan ada lagi kawasan pulih dan lebih ramai mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing berikutan keadaan cuaca baik,” katanya.
Cuaca di sembilan daerah diramalkan cerah pada pagi ini kecuali Kota Tinggi yang dijangka hujan, manakala tiada sungai yang direkodkan melepasi paras bahaya.