
Zulkarnain Zakaria menghadiahkan dua sepakan penalti ketika Sabah menang 5-2 ke atas Pulau Pinang pada aksi berlangsung di Likas, Kota Kinabalu Jumaat lalu.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman, berkata Jawatankuasa Pengadil FAM memutuskan untuk menggantung Zulkarnain daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.
“Jawatankuasa sebulat suara mendapati Zulkarnain terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti kepada Sabah FC pada minit 41 dan minit 90+9,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya lagi, jawatankuasa diketuai Timbalan Presiden FAM, S Sivasundaram selaku pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM bersidang semalam bagi meneliti laporan daripada penilai pengadil perlawanan serta klip rakaman video setiap insiden berkenaan.
“Jawatankuasa Pengadil FAM memandang serius perkara ini dan akan memberikan peringatan serta teguran keras kepada semua pengadil agar sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik.
“FAM tidak teragak-agak mengambil tindakan keras dan sewajarnya kepada mana-mana pengadil menampilkan mutu pengadilan tidak memenuhi piawaian telah ditetapkan pada perlawanan Liga Malaysia musim ini dan akan datang.” katanya.