
Salleh Said Keruak berkata, Sabah dan Sarawak menunjukkan bagaimana perbezaan boleh diurus secara progresif dan konstruktif.
“Memandangkan ahli politik kita terus berbincang dan mengulas mengenai hal ehwal politik semasa di Malaysia, saya ingin mengingatkan diri saya dan setiap orang agar meluangkan sedikit masa untuk ingat bagaimana perasaan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak mengenai hal itu,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, penting untuk menghayati nilai sebenar menjadi rakyat Malaysia, termasuk menerima perbezaan dan kepelbagaian di negara ini.
Tambahnya, keperluan untuk mengakui keluhuran hak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mesti difahami.
“Tetapi mari kita pastikan komen dan perbincangan kita hormat dan sedar tentang kepelbagaian masyarakat kita,” katanya.
Pada Jumaat, Salleh berkata, membina rumah ibadat berbeza agama di kawasan yang sama bukan penghalang kepada keharmonian.
Adun Usukan itu menyebut Sabah sebagai contoh bagaimana toleransi beragama dipelihara dengan baik dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dan agama.
Ini berikutan Ahli Parlimen PAS Ahmad Yunus Hairi pada Khamis menggesa Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan agar tidak membenarkan rumah ibadat bukan Islam, seperti kuil dan gereja, dibina di kawasan sama dengan masjid.