Kertas undi terlebih, pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru ditangguh

Kertas undi terlebih, pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru ditangguh

Pengerusi Tetap Umno Bahagian Johor Bahru Azmi Samin berkata, perkara dimaklumkan Jawatankuasa Pemilihan Umno untuk siasatan lanjut.

Pengerusi Tetap Umno Bahagian Johor Bahru Azmi Samin menangguh dan menggantung proses pemilihan Umno Bahagian itu kerana berlaku pertambahan bilangan kertas undi. (Gambar Facebook Exco Johor Mohd Hairi Mad Shah)
PETALING JAYA:
Proses pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru ditangguh dan digantung.

Keputusan itu dibuat Pengerusi Tetap Umno Bahagian Johor Bahru Azmi Samin selepas berlaku pertambahan bilangan kertas undi melibatkan perwakilan yang hadir, lapor Utusan Malaysia.

“Keputusan ini muktamad. Ini kerana jumlah perwakilan yang berdaftar pagi tadi untuk mengundi adalah seramai 523 orang, namun setelah kiraan dibuat jumlahnya mencecah 590 kertas undi.

“Sehubungan itu, saya umumkan pemilihan melibatkan Bahagian Johor Bahru kali ini ditangguh dan digantung,” katanya.

Beliau mengumumkan penangguhan dan penggantungan itu selepas kiraan selesai dibuat pada pukul 10.15 malam.

Katanya, proses seterusnya adalah untuk dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU) pusat dan menunggu siasatan JPU.

Keputusan itu menyaksikan pemilihan melibatkan kesemua jawatan yang dipertandingkan terjejas, khususnya jawatan ketua Umno Bahagian, timbalan ketua Umno Bahagian serta naib ketua Umno Bahagian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.