
Beliau yang juga menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim berkata, PAS gagal mentadbir Kelantan kerana tidak dapat menyelesaikan isu air bersih walaupun sudah lama berkuasa di negeri itu.
“Di pusat, kita akan bagi komitmen selesai masalah bekalan air bersih di Kelantan, macam mana nak cakap kerajaan Islam kalau soal air bersih pun tak boleh selesai,” katanya dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Malawati.
Nik Nazmi berkata kerajaan di bawah kepimpinan Anwar tidak sama sepertimana zaman Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri yang meminggirkan negeri pembangkang termasuk Kelantan.
“Anwar bukan macam Mahathir, nak pinggir negeri pembangkang. Hari ini kerajaan komited memastikan tak kira apa negeri kita akan bantu, tidak akan hukum, pinggirkan mereka (negeri pembangkang),” katanya yang juga pengerusi PKR Kelantan dan Terengganu.
Menyentuh mengenai pilihan raya negeri negeri akan datang, Nik Nazmi mengakui sukar untuk PKR dan Pakatan Harapan merampas Kelantan dan Terengganu.
“Tugas ini bukan mudah, tetapi kita tak boleh mengatakan di Kelantan dan Terengganu tak payah kerja kuat sebab tak boleh menang. Kita kena jadikan Selangor, Perak, Kedah sebagai contoh bagaimana negeri ini boleh jatuh kepada Pakatan Rakyat dahulu.
“Kelantan dan Terengganu layak dapat kerajaan lebih baik, saya percaya kempen kali ini fokus tawaran kepada pengundi. Di Kelantan, Terengganu, kita nak jadi pembangkang kuat bawa suara kuat di negeri itu,” katanya.