Iktiraf 5 Adun, matikan usaha lagakan BN-PH

Iktiraf 5 Adun, matikan usaha lagakan BN-PH

Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin berkata tidak timbul isu wakil rakyat BN dianaktirikan kerana mereka juga bakal menikmati peruntukan sama dengan rakan sejawat dari PH.

Megat Zulkarnain Omardin berkata Adun BN akan menjadi sebahagian wakil rakyat kerajaan sehingga tamat tempoh penggal DUN pada Jun depan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengiktirafan lima Adun Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian wakil rakyat kerajaan Selangor mematikan usaha melaga-lagakannya dengan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin berkata tidak lagi timbul isu wakil rakyat BN dianak tirikan kerana mereka juga bakal menikmati peruntukan sama dengan rakan sejawat dari PH.

“Mewakili Umno Selangor, saya fikir ini akan menutup mulut-mulut mereka yang cuba melaga-lagakan PH dan BN,” katanya menurut Sinar Harian.

Semalam, Menteri Besar Amirudin Shari mengumumkan lima Adun BN kini diiktiraf sebahagian wakil rakyat kerajaan Selangor sehingga tamat tempoh penggal DUN pada Jun depan.

Mereka terdiri daripada Rizam Ismail (Sungai Air Tawar) yang juga bekas ketua pembangkang, Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang), Rosni Sohar (Hulu Bernam), Mohd Shamsuddin Lias (Sungai Burong), dan Zakaria Hanafi (Semenyih).

Rabu lalu, ADUN Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali dari Perikatan Nasional (PN) mendakwa wakil rakyat BN masih menerima peruntukan sebagai pembangkang dan bukannya kerajaan.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata situasi itu menunjukkan pendirian kerajaan Selangor tidak selari dengan kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Di peringkat pusat, PH dan BN bekerjasama membentuk kerajaan pusat selepas PRU15, ia turut membabitkan Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah serta parti kecil lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.